Bayi baru lahir memang selalu menerima kunjungan tetamu. Tidak kiralah keluarga terdekat, saudara-mara, serta kawan-kawan semua seronok bila meraikan kehadiran orang baru. Apabila terpandang wajah bayi yang comel, tentu saja ramai yang teruja untuk mencium mereka.
Tapi, apabila ibu bapa membiarkan bayi dicium, terutama oleh orang yang tidak diketahui tentang sejarah dan keadaan kesihatannya, kita telah mendedahkan bayi kepada pelbagai risiko.
Fahami bahawa bahagian wajah bayi baru lahir adalah amat sensitif. Penyebaran virus boleh terlekat, boleh terhirup melalui hidung, atau tersebar melalui mulutnya.
Oleh itu, kurangkan interaksi dengan bayi pada bahagian wajah sekiranya kita kurang sihat. Bahagian tubuh lain seperti kaki boleh dijadikan alternatif untuk dicium.
Ketika mencium bayi baru lahir, kuman seperti batuk, selsema, dan demam boleh ikut berpindah dari mulut (air liur) ke pipi atau bibir si kecil. Disebabkan bayi baru lahir belum mempunyai imuniti sekuat orang dewasa, maka mereka lebih mudah diserang jangkitan tersebut.
Walaupun tidak mencium bayi, mereka yang sakit tidak disarankan untuk melawat bayi baru lahir sama sekali. Ini kerana, ketika seseorang yang sakit terbersin, batuk, bernafas, apatah lagi mencium bayi, kuman akan disebarkan tanpa disedarinya.
Ruam kulit boleh berlaku kepada bayi yang begitu sensitif terhadap persekitarannya, lebih-lebih lagi bayi pramatang atau bayi yang mengalami eczema. Oleh itu, pastikan ibu bapa juga sentiasa mengamalkan kebersihan apabila ingin memegang dan menyentuh bayi baru lahir.
Infeksi mononukleosis yang umumnya disebut kissing disease juga adalah antara virus yang boleh ditularkan melalui air liur. Antara gejala umumnya termasuklah ruam kulit selain demam, sakit kepala, radang tekak, dan sebagainya.
Apabila seorang perokok itu merokok, kesan-kesan nikotin masih akan terlekat di kulit dan bajunya walaupun selepas berjam-jam lamanya. Yang mengejutkan, kepekatan bahan kimia beracun yang terkandung dalam asap rokok ‘basi’ ini sebenarnya adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan kepekatan asap disedut oleh perokok secara aktif.
Keadaan toksik seperti ini sudah tentu akan memberi kesan sampingan kepada bayi, terutamanya dalam masalah pernafasan. Jadi, cuba sedaya-upaya mengelakkan bayi anda didekati oleh perokok, apatah lagi dicium olehnya.
Selain penyakit biasa seperti batuk dan demam, wabak merbahaya seperti meningitis, herpes, cacar air, dan sebagainya. Satu contoh yang boleh kita ambil adalah penyakit herpes. Penyakit herpes mungkin adalah penyakit yang jarang dihidapi oleh seseorang. Tetapi, terdapat sumber mendapati bahawa seseorang yang terkena herpes akan memiliki virus ini di dalam tubuh sepanjang hidupnya.
Apa yang menakutkan, penyakit ini tidak dapat dikesan dengan mata kasar. Maka, ibu bapa haruslah selektif dan menolak halus jika bayi anda mahu dicium oleh seseorang yang tidak anda kenali. Mungkin kita akan dianggap sombong atau ‘diva’ apabila memberi teguran, tetapi pencegahan itu adalah lebih baik daripada merawat.