Semasa isteri sedang berpantang, dia tak boleh buat semua benda sendiri dan tak mampu bergerak lasak-lasak. Jadi inilah masanya untuk suami galas tugas seorang isteri, bantu apa yang patut agar isteri kembali sihat seperti biasa. Nampak je mudah tapi kalau buat penat juga. Nak-nak kalau anak dah dua tiga orang, tak cukup tangan dibuatnya. Jadi, untuk para suami, ini perkara yang anda perlu buat ketika isteri sedang berpantang.
Walapun tak biasa, suami kena cuba juga. Kalau susah nak bangun awal,kunci jam banyak-banyak. Suami kena bangun lebih awal sebelum isteri bangun dari tidur selama tempoh berpantang. Kena sediakan air mandian untuk isteri.
Sediakan sarapan untuk isteri seawal mungkin. Sebaiknya lepas solat Subuh,sediakanlah sarapan untuk isteri. Lepas solat jangan pula suami pergi sambung tidur.
Kalau tak dapat sediakan sarapan yang berat-berat, memadai segelas milo dan roti bakar.Pasti isteri anda rasa amat dihargai.
Kadang-kadang isteri ni nak minum air, jadi takkanlah setiap kali nak minum nak kena minta,sebaiknya suami sediakan botol air dan gelas berhampiran isteri. Mudah untuk dia minum nanti.Sediakan juga bakul baju kotor, tuala, majalah atau buku untuk elakkan dia boring.
Ada isteri yang jenis berdikari. Semua kerja walaupun dalam pantang dia tetap boleh buat sendiri. Tapi jangan ambil kesempatan, paling tidak pun sentiasa berada di sisi isteri.Sekurang-kurangnya bila dia inginkan sesuatu, dia boleh minta tolong dengan suami.
Nak atau tidak, suami kena belajar untuk mandikan anak sendiri walaupun kepala masih lembut.Kalau tak mahir, sekurang-kurangnya bantulah isteri, ibu atau mentua sediakan air mandian.
Kalau anak ramai, pastikan semua urusan anak-anak diuruskan dengan baik. Jangan nak harapkan isteri yang baru lepas bersalin untuk menjaga anak-anak yang lain.Biarkan isteri berehat sepenuhnya dengan bayi yang baru dilahirkan.
Urusan-urusan yang dimaksudkan merangkumi makan-minum, mandi, pakaian sehinggalah menidurkan anak.
Pastikan persekitaran isteri dan bayi sentiasa bersih dan kemas. Bantu isteri mengumpulkan pakaian kotor dan basuhlah pakaian-pakaian itu. Tidak susah sekiranya anda menggunakan mesin basuh.
Jika sebelum ini isteri menghabiskan lebih 365 hari dalam setahun menjaga makan minum,pakaian suami dan anak-anak lain, apalah salahnya memanjakan dia hanya untuk tempoh 40 hariberpantang. Inilah masanya cik suami buktikan cinta dan kasih sayang pada isteri tersayang.Isteri kan amanah untuk suami.
SUMBER: PEN HITAM/ MINGGUAN WANITA